Kalendar

Tuesday 26 July 2016

Fastabiqul Khairat

Jabatan Pendidikan Kokurikulum, Kementerian Pendidikan melalui Unit Beruniform dan Perkhidmatan Kemasyarakatan bersama Badan BIJAK mengadakan Projek Amal Kemasyarakatan Fastabiqul Khairat di Lambak Kanan, bermula 2 hingga 30 Mei pada waktu pejabat.
 
Fastabiqul Khairat yang bermaksud berlumba-lumba melakukan kebajikan merupakan acara kebajikan masyarakat bertujuan memberi bantuan dan sumbangan kepada anak-anak yatim, warga jabatan dan fakir miskin bagi penduduk kampung sekitar sempena menyambut awal Ramadan dan Hari Raya Aidilfitri 1437H nanti.

Orang ramai yang ingin memberikan sumbangan boleh menghantar sumbangan mereka ke Jabatan Pendidikan Kokurikulum, Jalan 10, Kampung Perpindahan Lambak Kanan, Berakas.

Di samping itu, kempen derma darah bagi menambah tabungan simpanan darah Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha (RIPAS) turut dilancarkan bagi menjayakan projek amal ini.

Projek ini melibatkan ahli dan guru-guru pengawas daripada enam pasukan beruniform sekolah-sekolah di seluruh negara yang dijemput supaya sama-sama menjayakan projek ini atas dasar sukarela sambil beramal.

Projek ini juga bertujuan untuk merealisasikan hasrat jabatan ke arah pembentukan Unit Beruniform dan Perkhidmatan Kemasyarakatan sambil mengajak warga Kementerian Pendidikan serta masyarakat sama-sama beramal dengan menghulurkan bantuan kepada anak-anak yatim.



Hadir selaku tetamu kehormat dan seterusnya menyempurnakan penyampaian sumbangan derma tersebut ialah Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Indera Pahlawan Dato Seri Setia Awang Haji Suyoi bin Haji Osman.

Turut hadir, Timbalan Menteri Pendidikan, Yang Mulia Pengiran Dato Paduka Haji Bahrom bin Pengiran Haji Bahar; Setiausaha Tetap (Pendidikan Teras), Dr. Hajah Romaizah binti Haji Mohd. Salleh; Setiausaha Tetap (Pengajian Tinggi), Dr. Haji Junaidi bin Haji Abdul Rahman dan Rektor Universiti Islam Sultan Sharif Ali, Dr. Haji Norarfan bin Haji Zainal.

Pemangku Pengarah Pendidikan Kokurikulum, Awang Haji Azis bin Haji Nayan, selaku Pengerusi dalam ucapannya berkata, buat julung kalinya, JPK melalui Unit Beruniform dan Perkhidmatan Kemasyarakatan bersama Badan Bijak mengendalikan satu Program Amal Kemasyarakatan bagi memberi bantuan kepada golongan anak-anak yatim warga jabatan dan golongan fakir miskin Rancangan Perumahan Negara (RPN) Kampung Perpindahan Lambak Kanan bersempena menyambut bulan Ramadan dan Sambutan Hari Raya Aidilfitri 1437 Hijrah.

Menurutnya, program ini melibatkan ahli-ahli pasukan beruniform dan guru pengawas dari enam pasukan beruniform yang terdapat di sekolah-sekolah terdiri daripada Pasukan Kadet Tentera, Pasukan Kadet Polis, Pasukan Kadet Bomba dan Penyelamat, Pasukan Pengakap, Pasukan Pandu Puteri dan Pasukan Bulan Sabit Merah.

Pasukan-pasukan ini tambahnya, dilibatkan bagi memberikan pendedahan dan pendidikan tentang nilai-nilai murni khususnya dalam memberikan bantuan kepada golongan yang memerlukan dan sambil beramal untuk mendapatkan keredaan Allah Subhanahu Wata'ala.
Pihak jabatan terang beliau, telah membuat penilaian bahawa masih terdapat ruang yang luas dalam usaha untuk memberikan pendidikan nilai-nilai murni kepada ahli-ahli pasukan beruniform atau pelajar-pelajar.

"Semoga dengan pendidikan informal seperti ini akan dapat membantu memenuhi hasrat sistem pendidikan negara kita SPN21 iaitu ke arah memberikan pendidikan yang holistik kepada semua dan juga hasrat menjadikan rakyat dan penduduk Negara Brunei Darussalam ini menjadi antara 10 negara terbaik dunia menjelang 2035," ujarnya.
Majlis diteruskan dengan penyampaian sumbangan derma kepada anak-anak yatim dan penerima khas serta penyerahan sumbangan derma kepada ketua-ketua pasukan untuk diagihkan kepada fakir miskin.

Tujuan projek adalah bagi merealisasikan hasrat JPK ke arah pembentukan Unit Beruniform dan Perkhidmatan Kemasyarakatan, mengajak warga Kementerian Pendidikan dan masyarakat awam dalam sama-sama membuat amal jariah dengan menghulurkan bantuan kepada anak-anak yatim warga JPK, fakir miskin Kampung Perpindahan Lambak Kanan, Berakas 'B' dan mengumpul sumbangan berbentuk pakaian dan makanan yang boleh diberikan kepada sasaran bagi kesejahteraan dalam sama-sama melalui ibadah puasa pada bulan Ramadan dan juga menyambut ketibaan Hari Raya Aidilfitri.

Selain itu, ia juga untuk melatih warga ahli-ahli pasukan beruniform agar bergiat aktif dalam melakukan kerja-kerja amal dan kerja-kerja bergotong-royong serta mengeratkan silaturahim dalam kalangan ahli jawatankuasa, penderma, penerima derma dan warga Kementerian Pendidikan.

















































No comments:

Post a Comment

Upacara Menaikkan Bendera Negara Sempena Sambutan Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam ke-40 Bagi Daerah Tutong Tahun 2024

 Jumaát, 16 Februari 2024, 9.00 pagi, Kawasan Kompleks Dewan Kemasyarakatan Daerah Tutong Pasukan Kadet Tentera dan Kadet Polis dari Sekolah...